Wednesday 27 June 2012

Toleransi

Aku dan dia
Berbeza
Perbezaan merapatkan kami

Aku dan mereka
Sama
Persamaan memecah belahkan kami

Perbezaan atau persamaan
Sama
Atau berbeza
Cuma
Toleransi

Friday 15 June 2012

Fikir


Aku bukan cerdik
Aku juga bukan bodoh
Tuhan berikan aku akal
Untuk aku berfikir
Untuk tidak menjadi bodoh

Aku bukan pembangkang
Aku juga bukan pak turut
Yang akan segera menurut
Kerana tuhan berikan aku akal
Supaya aku berfikir
Untuk tidak menjadi pak turut

Tuhan berikan aku akal
Supaya aku berfikir
Apa baik
Apa buruk
Sebelum kembali ditanya
“Apa guna akal yang Aku beri?”
Sebelum kembali ditanya
Pada hari yang tak terfikir, pada akal yang berfikir

Wednesday 13 June 2012

Penjuru Kosong

Aku anggapkan dunia ini satu kubikal yang punya empat penjuru. Kubikal yang luas. Tampung seberapa ramai orang. Wujud aku di situ. Dalam kubikal itu, wujud satu cahaya, terang dari pancaran lampu maha cerah. Ada pun ramai orang zaman sekarang memanggilnya sebagai "sport light". Wujudnya manusia puja pujaan di bawah cerahan lampu itu. Ramai manusia ke sana. Mengelilingi bagai semut mendapat gula. Maka wujudlah satu lingkungan manusia mengelilingi pujaan.

Aku terkeluar daripada kumpulan. Hidup aku tanpa pujaan. Aku berlalu dan berehat di suatu penjuru yang kosong. Di penjuru itu, jauh dari keriuhan membantu aku mencari diri sendiri. Aku terus termenung. Cuba berfikir. Menjadi diri sendiri memang sukar bukan?

Sedangkan mereka di tengah sana, tak perlu berfikir apa apa. Mereka tak perlu berfikir untuk jadi apa apa. Pujaan mereka adalah pantulan meraka. Hanya itu yang ingin mereka hajati.

Di penjuru kosong, aku terus sendiri..

Sunday 3 June 2012

Sayap

"kembalikan aku sayap dan ajarkan aku kembali terbang"

Aku melihat burung terbang bebas di langit biru. Bebas berkawan, tinggi rendah lalu melucur laju. Bebas! Itu aku jangkakan.

Aku di sini bagaikan burung kakak tua yang patah sayap dan terkurung dalam sangkar lutsinar perspektif manusia. Sangkar pengurung kebebasan! Bagai kakak tua, aku menjadi sebahagian tuan aku. Mengiya apa dikata, buat apa disuruh dan makan apa yang diberi. Siapa tuan aku? Tuan aku masyarakat. Masyarakat yang rigid pemikiran. Serigid mereka, itulah aku. Aku yang terkurung dalam kerigidan mereka lalu aku terus menjadi burung kakak tua. Pandai bercakap tanpa tahu apa-apa.

"kembalikan aku sayap dan ajarkan aku kembali terbang"

Aku kakak tua. Aku cemburu dengan kegagahan, kemegahan dan  kehebatan sang rajawali. Terbang tinggi melangit. Jauh dari sangkar. Bebas.

"kembalikan aku sayap dan ajarkan aku kembali terbang"