Monday 31 December 2012

Sayap Tengu

"Tengu!", teringatkan sesusuk tubuh berparuh burung, sepasang sayap dan kipas angin. "Apa mungkin ia masih boleh terbang?"

Rembulan yang jauh, tinggi melepasi awan. Aku di bumi masih lagi mendongak melihat kecantikannya. "Mana mungkin ia jatuh ke riba. Aku patut dapatkannya!", aku berfikir. Ada jarak perlu aku tempoh. Menegak.

Tengu yang kepenatan terlihat lena di atas gunung tertinggi selepas penat melompat dari satu gunung ke satu gunung. Dengan pantas, sayap tengu perlu aku curi bersama kipas anginnya.

Ia berhasil. Aku sedang terbang menggunakan sayap tengu. Kipas angin aku gunakan untuk gerakan angin supaya aku lebih laju ke hadapan. (Mungkin juga ke atas?)

Semakin lama, bumi yang telah lama aku pijak semakin jauh aku tinggalkan. Lapisan awan putih nampaknya lembut dan nyaman. Terasa ingin aku berehat sebentar tapi keinginan untuk terus sampai ke bulan, menghalang. Aku teruskan jua perjalan.

Perjalanan itu cukup memenatkan. Separuh nyawa serasa bagai sudah tercabut dari badan. Bulan tetap di hadapan.

Lama kelamaan sayap tengu kelemahan. Mungkin ia tidak serasi bersama badan aku? Persoalan itu tidak sempat aku jawab dan aku terus terjatuh atas awan pejal. Sayap tengu hilang daya kuasa. Aku terperangkap dalam pelukan lembut awan yang selesa. Sayap tengu terus hilang fungsi dan aku takkan mungkin terus mendekati bulan. Rasa rindu pada rembulan tak lagi bisa dibendung. "Rembulan, hanya dari sini saja dapat kau aku tatap. Berbahagialah di sana!"

Aku, bagai pungguk rindukan rembulan.

Thursday 20 December 2012

Subuh yg Terlewat


"Tanpa mimpi, orang macam kita akan mati"

Aku teringat frasa itu yang aku pungut dari buku "Sang Pemimpi". "Aku harus mimpi. Mimpi hebat hebat", aku, tekad lalu aku terus bermimpi dan bermimpi. Lena dan aku tenggelam. Dunia mimpi. Lupa. Dunia nyata.

"Subuh itu sudah dekat", jerit mereka, hampir di telinga. Dari dunia sana aku persoalkan,"Kenapa dengan subuh? Aku perlu bangkit? Belum puas aku bermimpi. Aku masih belum mahu mati". Aku, terus terlena. Alam itu sungguh indah. Mereka terus menjerit,"Subuh itu sudah dekat". Pekakkan telinga dan terus lena.

"Subuh itu sudah dekat!"

Tersedar. "Adakah subuh itu sudah dekat?", tertanya, separuh menjerit. Tanpa jawapan.

Ufuk timur menggelap.

Sunday 16 December 2012

Pencuri Hati

Aku adalah pencuri hati. Pakar. Sudah banyak hati yang telah aku curi. Bukan susah pun. Ramai saja orang yang biarkan hati mereka tak terjaga. Maka, tak perlulah aku bersusah payah mencuri. Aku ambil saja dan bawa lari.

Ada juga yang simpan dalam bilik tapi lupa untuk tutup dan kunci. Ada juga yang mengunci tapi dengan kepakaran aku, cukup mudah untuk aku buka. Sekadar ketuk dengan tukul atau guna dawai, itu kerja senang. Kadang kadang terpaksa juga aku pakai tapak kasut ala tentera aku untuk mengetuk tombol pintu. Tak pernah gagal.

Hari ini aku dapat hidu mangsa seterusnya. Hati itu tertutup rapat dalam sebuah bilik terkunci rapi bersama dinding dan pintu yang kukuh. Segala pengalaman membuka kunci telah aku gunakan. Gagal. Hendak saja aku rempuh pintu dengan bahu tapi itu aku tahu akan gagal. Pintu itu sangat kukuh. Hendak saja aku letupkan pintu tapi mungkin itu akan rosakkan hati yang berharga itu.

Kunci bilik itu ada pada empunya. Hendak saja aku curi tapi aku tidak punya informasi. Pernah juga aku geledah biliknya atau tas tangannya. Tak berhasil. Mungkin dia tak gunakan kunci biasa. Mungkin juga dia gunakan retina mata atau corak yang ada pada ibu jari. Tak mampu pula aku berkasar dengannya. Atau perlu saja aku minta dengan sopan?

Saturday 1 December 2012

Lelaki

"Jadilah lelaki jika kau lelaki. Jadilah!"
"Apa aku tak cukup lelaki?"
"Jadilah lelaki jika kau benar benar lelaki!"
"Apa aku belum cukup lelaki?"
"Lelaki punya segala. Tanggungjawab!"





-senyap

Friday 30 November 2012

Darah dan Keringat


Darah mengalir bukan air
keringat menguap bukan awan
pada tuhan jua berakhir
pantang syahid sebelum berjuang

Darah bukan sebarang darah
keringat bukan sebarang keringat
musuh ditempur tanpa arah
kurangnya senjata bukan penyekat

Darah itu sehabis merah
keringat tanpa wajah
seluruh tenaga juga dikerah
pertahan tidak untuk dijajah

Darah di sana sini
keringat juga tak berbaki
pahlawan tetap juga berbakti
walau tahu akan mati

Darah itu makin likat
keringat itu makin kering
berilah pertolongan wahai sahabat
buat mereka yang sedang pusing

Titisan darah terakhir
keringat itu sudah kering
bilakah ia akan berakhir?
Hidup bagaikan orang asing

Darah kering di tanah rata
keringat sudah berhujan
mereka ingin sebut merdeka
dalam sebuah negara yg aman 

yg tak terhantar #ZineUntukGaza

Thursday 29 November 2012

Mimpi : Kejutan


Pada waktu itu, aku sedang makan dengan beberapa rakan yang aku sudah lupa mana asalnya aku jumpa mereka. Kali itu kami makan di meja, sebelah rumahku sendiri. Seakan kenduri. Tiba tiba terlihat sebiji kereta memasuki laman. Tiga orang perempuan keluar. Dua daripadanya melihat aku dengan tersenyum sedang seorang lagi masih bersalam dengan ibu. “Aku kenal mereka?”, soal tetap dalam hati. Ya, aku kenal. Lalu jantung seakan ingin meletup. “Adakah itu dia?”. Akhirnya dia berpaling ke arahku dengan senyuman yang telah lama aku kenal.

Mimpi itu bagai nyata
hingga aku terkejut dan terjaga.
Harapan aku agar ia nyata
ia tetap hancur semua

Mimpi itu tidak terulang
selama mana kembali lelap
rasa rindu takkan hilang
hidup umpama dlm gelap

Tuhan
kembalikan dia ke dalam mimpi
agar dpt teruskan kembali
indah sungguh kita bersama
ingin di sana selamanya

Dunia itu hanya mimpi
takkan kekal selamanya
berpijaklah kau di bumi sendiri
itulah hidup yg sebenarnya