Wednesday 23 October 2013

Bebaskan


Kata Pak Tua,"Jangan pernah kau kurung sesuatu yang bebas. Kau pendosa".

 

Aku tahu tapi aku tetap manusia, berkehendak. Sifat manusia mahu memiliki, bukan berkongsi, paling kurang, sebahagian daripadanya.

 

Sejak kecil lagi aku terpesona dengan ikan. Bebas. Bebas berenang dalam air. Bagai tiada halangan menanti di hadapan. Cantik. Sisik lampam berkilat. Ekor sepelai berwarna warni. Kepala bunga air yang punya tompok cahaya. Kareng padang yang ganas. Aku pernah tangkap semuanya. Aku simpan di rumah, dalam bekas berisi air. Harapan aku untuk membelanya, tapi entah kenapa semuanya mati.

 

Kata Pak Tua,"Jangan pernah kau kurung sesuatu yang bebas. Kau pendosa".

 

Aku pendosa? Salahkah aku?

 

Aku kagum pada kebebasan burung. Terbang tinggi di langit. Mengepakkan sayap ke mana-mana saja dalam pacaian dunia. Aku kagum pada helaian bulu pada kepaknya. Aku ingin kurungkan ia dalam sangkar, supaya aku dapat melihat segala gerakannya. Dari gerakkan sayap, terbang dan kepada pada pijakkan. Bukan aku mahu menghala gerakkannya. Paling kurang, sangkarnya, aku mahu lebih besar daripada sebuah bilik sewaan seorang penduduk bandar. Biar ia bebas terbang, dalam ruangan terkurung.

 

Kata Pak Tua,"Jangan pernah kau kurung sesuatu yang bebas. Kau pendosa".

 

Aku ingat. Aku tak mahu tambah dosa lagi. Bebaslah kau burung. Bebaslah.

Monday 23 September 2013

Selamat Ulang Tahun, yang terlewat

Tentang masa, kita sering bicara tentangnya. Tentang masa lalu, masa sekarang dan masa depan. Tapi, apa kita tahu setepatnya tentang masa. Masa itu bergerak, tak pernah tetap dan tak pernah tepat. Apa sebetulnya masa sekarang. Adakah ia tepat dengan jam yang kau lihat sekarang? Adakah benar semalam adalah 24 jam yang lampau atau esok akan masuk tepat 24 jam akan datang.



Ingatan adalah sesuatu yang kita cipta di ruang masa. Setiap masa kita akan perbaharui ingatan. Sebenarnya, adakah kita tahu setepatnya bila kita mencipta ingatan? Adakah waktu kita bertemu mata adalah waktu yang tepat kenangan tercipta?



Kenangan, kita sering mahukan yang indah, membahagiakan. Bukan menafikan sesuatu duka tapi yang bahagia itu untuk dirai.



Masa adalah batasan waktu untuk melakukan segala. Kembali, masa adalah sesuatu yang bergerak tanpa henti, tanpa dapat dikawal. Waktu bahagia, benar, tak begitu lama. Waktunya rasa begitu pendek tapi saat bahagia, kita menginginkan masa yang lebih lama. Bagai mahu hentikan segala gerakan pada cakrawala dan hanya ada kita dalamnya yang masih mampu bergerak. Bercerita tentang kita, pada masa lampau, sekarang dan menjangkakan masa depan di bawah sinaran bintang dan bulan, meneliti kaki langit, dari tepian pantai atau puncak bukit. Kita akan bercerita hal-hal yang menggembirakan, tertawa sampai sudahnya atau bercerita kisah duka, menangis dan kembali ketawa akhirnya. Hingga suatu saat dunia kembali berputar dan kita masih mampu tersenyum lebar.



Sekarang, aku tertanya, adakah ini tepat waktunya. Sememangnya ianya sudah terlewat atau sudah jauh terlewat untuk mengucapkannya. Rasa seperti masih ada waktu untuk aku ucapkan, Selamat Ulang Tahun, yang terlewat.


Monday 29 July 2013

Helang

Helang itu terbang tinggi, mencecah awan memutih. Dari jauh tampaknya gagah. Iya, ia memang gagah. Juga megah. Tak dapat disangkal lagi. Namun, dari ketinggian yang tinggi, halangan tetap datang jua dan ia jatuh menjunam ke bumi. Sebelum sempat ia mencecah tanah. Generasi sebelum kami menyambutnya, merawat dalam sembunyi sebelum kembali melepaskannya ke udara. Ia kembali terbang. Rendah, rendah, semakin tinggi dan meninggi. Dan kami, bernaung bawahnya dengan megah.

Hari ke hari, jumlah kami kian bertambah, sebagaimana makin besarnya bayang helang yang makin mendekati matahari. Kami berlindung di bawah bayang kemegahannya. “Segala kerja harus dilakukan d bawah bayangan”, kata generasi sebelum kami. Kami terus mengikuti.

Pertambahan jumlah bukanlah sesuatu yang baik, walaupun pada mulanya suatu yang menggembirakan. Jumlah bertambah, menambahkan kekuatan, juga keegoan. Tiba masanya, ada yang menjerit lantang,”Kenapa harus dalam bayang? Kita sudah kuat”, lalu mereka menyusup keluar, menambah bayangan pada helang. Bayang helang kian menghilang.

Ada ketika, ada antara kami menjerit ”Kalau berani, datanglah!” kepada mereka di luar sana. Adakah mereka lupa yang helang juga tak kebah pada peluru dan senjata. Mungkin ada antara mereka di luar sana adalah pemburu yang sudah lama kehausan darah.

Akhirnya, ada yang menjerit padaku, “Kau bukan lagi sahabatku”. Aku tertanya. Kenapa? Aku tak pernah menganggapnya sebagai sahabat malah aku anggapkan dia saudara. Adakah egonya terlalu tinggi hingga aku harus dia singkirkan.

Maka aku menyusup keluar dalam diam, tanpa berkata apa. Mana mungkin berkata-kata mampu melawan jeritan mereka. Aku keluar dari bayang terus ke cahaya, mentari menyengat atas kepala. “Tak mengapa, aku rela”.

Helang itu terus meluncur tinggi di udara. Tampak gagah dan perkasa. Iya, ia memang gagah dan perkasa. Dari dulu, kini dan selamanya.


#Kepada sahabat yang masih ada di sana, ada kerinduan yang masih tersimpan.

Friday 14 June 2013

Langit tinggi bukan untukku terbang
Laut dalam bukan untukku selam
Biarkanlah aku terdampar pada pantai
Asal tak terapung ditempuh gelora

Api
Air
Angin
Tanah
Kembalilah bersama
Menjadi jiwa

Sunday 19 May 2013

Sudah



Kepada politikus moden
Satu kata mahu aku kata
Sudah!

Sudah sudahlah
Sampai bila?

Sampai bila kau mahu menyeksa
Ini bukan masa
Untuk kau bertakhta
Kerna aku tak lagi selesa

Kau yang menyimpan rahsia
Menyimpan segala rasa
Segala rahsia
Dalam setiap kata
Yang makin meninggi
Setinggi harga diri

Tahukah kau
Sesuatu telah kau curi
Daripada hati ini
Yang tak mungkin mampu
                kau pulangkan kembali

Cukup!
Sudah cukup!
Atau aku
                gunakan hak aku
                sebagai pengundi


Wednesday 15 May 2013

Jika aku tuhan, tidak kau kuciptakan



Jika aku tuhan
Tidak kau kuciptakan

Untuk apa kau dicipta?
Sekadar sakitkan hati semata
Kau muncul dalam sedar
Menyelinap terus ke dasar
Dalam sedar tak sedar

Pisau menghiris hati
Berkeping-keping
Dicurahnya cuka
Pedih menggila
Untuk apa kau dicipta?

Jika aku tuhan
Tidak kau kuciptakan
*****
Sayang
Aku bukan tuhan
Dan kau telah dicipta
Syukurlah kau pada-Nya

“Hidup tanpa tentangan adalah kebosanan”
Kata mereka
Dan kau adalah tentangan
Akan aku terpaksa terima
Secara terpaksa

Moga
Mendung hari esok
Tidak menghambatku pulang
Sekarang

Friday 10 May 2013

Perai Kesedihan



Perai kesedihan;
Sepi

Bunga mawar dipagut bisa
Luruh kuntum-kuntum putih
Jadi hitam kelam

Kabus gelap mengelilingi badan
Timbul batang-batang
mawar berduri
Membaluti tubuh
Terpaku bisu

Bagai Jesus yang disalib

Thursday 9 May 2013

Milo



Pagi tadi aku minum secawan Milo
Suam, tak panas
Kurang manis, tapi tak kosong

Orang kata, koko boleh bangkitkan rasa
Tapi aku rasa, ada yang mati
Terkubur
Mereput
Jadi debu

Dari dalamnya, ia kembali hidup
Segar
Meninggi

Tapi tak sama dengan yang lama

Kenapa perlu aku carikan yang lama?

Wednesday 8 May 2013

Terakhir Buatmu



"Orang Asing"
Pernah kutulis tentangmu
Dalam lembaran asing
Lembaran yang jauh dari duniamu
Lembaran yang tak mungkin kau sentuh

Kau suatu kewujudan yang salah
Salahmu wujud pada aku
Wujud dalam jiwaku
Wujud dalam nafasku
Wujud dalam ingatanku

Bebaskan
Bebaskan aku dari belenggumu
Belenggu yang menyeksa diriku

Kini
Biar
Biarkan aku hilangkan kau dari kewujudan yang tak mungkin wujud
Tak mungkin wujud lagi
Tak mungkin wujud lagi dlm duniaku

Untuk terakhir kalinya
Aku menulis nama
Dalam ingatan

*ditulis selepas Orang Asing, IFall