Monday 31 December 2012

Sayap Tengu

"Tengu!", teringatkan sesusuk tubuh berparuh burung, sepasang sayap dan kipas angin. "Apa mungkin ia masih boleh terbang?"

Rembulan yang jauh, tinggi melepasi awan. Aku di bumi masih lagi mendongak melihat kecantikannya. "Mana mungkin ia jatuh ke riba. Aku patut dapatkannya!", aku berfikir. Ada jarak perlu aku tempoh. Menegak.

Tengu yang kepenatan terlihat lena di atas gunung tertinggi selepas penat melompat dari satu gunung ke satu gunung. Dengan pantas, sayap tengu perlu aku curi bersama kipas anginnya.

Ia berhasil. Aku sedang terbang menggunakan sayap tengu. Kipas angin aku gunakan untuk gerakan angin supaya aku lebih laju ke hadapan. (Mungkin juga ke atas?)

Semakin lama, bumi yang telah lama aku pijak semakin jauh aku tinggalkan. Lapisan awan putih nampaknya lembut dan nyaman. Terasa ingin aku berehat sebentar tapi keinginan untuk terus sampai ke bulan, menghalang. Aku teruskan jua perjalan.

Perjalanan itu cukup memenatkan. Separuh nyawa serasa bagai sudah tercabut dari badan. Bulan tetap di hadapan.

Lama kelamaan sayap tengu kelemahan. Mungkin ia tidak serasi bersama badan aku? Persoalan itu tidak sempat aku jawab dan aku terus terjatuh atas awan pejal. Sayap tengu hilang daya kuasa. Aku terperangkap dalam pelukan lembut awan yang selesa. Sayap tengu terus hilang fungsi dan aku takkan mungkin terus mendekati bulan. Rasa rindu pada rembulan tak lagi bisa dibendung. "Rembulan, hanya dari sini saja dapat kau aku tatap. Berbahagialah di sana!"

Aku, bagai pungguk rindukan rembulan.

Thursday 20 December 2012

Subuh yg Terlewat


"Tanpa mimpi, orang macam kita akan mati"

Aku teringat frasa itu yang aku pungut dari buku "Sang Pemimpi". "Aku harus mimpi. Mimpi hebat hebat", aku, tekad lalu aku terus bermimpi dan bermimpi. Lena dan aku tenggelam. Dunia mimpi. Lupa. Dunia nyata.

"Subuh itu sudah dekat", jerit mereka, hampir di telinga. Dari dunia sana aku persoalkan,"Kenapa dengan subuh? Aku perlu bangkit? Belum puas aku bermimpi. Aku masih belum mahu mati". Aku, terus terlena. Alam itu sungguh indah. Mereka terus menjerit,"Subuh itu sudah dekat". Pekakkan telinga dan terus lena.

"Subuh itu sudah dekat!"

Tersedar. "Adakah subuh itu sudah dekat?", tertanya, separuh menjerit. Tanpa jawapan.

Ufuk timur menggelap.

Sunday 16 December 2012

Pencuri Hati

Aku adalah pencuri hati. Pakar. Sudah banyak hati yang telah aku curi. Bukan susah pun. Ramai saja orang yang biarkan hati mereka tak terjaga. Maka, tak perlulah aku bersusah payah mencuri. Aku ambil saja dan bawa lari.

Ada juga yang simpan dalam bilik tapi lupa untuk tutup dan kunci. Ada juga yang mengunci tapi dengan kepakaran aku, cukup mudah untuk aku buka. Sekadar ketuk dengan tukul atau guna dawai, itu kerja senang. Kadang kadang terpaksa juga aku pakai tapak kasut ala tentera aku untuk mengetuk tombol pintu. Tak pernah gagal.

Hari ini aku dapat hidu mangsa seterusnya. Hati itu tertutup rapat dalam sebuah bilik terkunci rapi bersama dinding dan pintu yang kukuh. Segala pengalaman membuka kunci telah aku gunakan. Gagal. Hendak saja aku rempuh pintu dengan bahu tapi itu aku tahu akan gagal. Pintu itu sangat kukuh. Hendak saja aku letupkan pintu tapi mungkin itu akan rosakkan hati yang berharga itu.

Kunci bilik itu ada pada empunya. Hendak saja aku curi tapi aku tidak punya informasi. Pernah juga aku geledah biliknya atau tas tangannya. Tak berhasil. Mungkin dia tak gunakan kunci biasa. Mungkin juga dia gunakan retina mata atau corak yang ada pada ibu jari. Tak mampu pula aku berkasar dengannya. Atau perlu saja aku minta dengan sopan?

Saturday 1 December 2012

Lelaki

"Jadilah lelaki jika kau lelaki. Jadilah!"
"Apa aku tak cukup lelaki?"
"Jadilah lelaki jika kau benar benar lelaki!"
"Apa aku belum cukup lelaki?"
"Lelaki punya segala. Tanggungjawab!"





-senyap