Friday, 16 November 2012

Maaf; Aku Bosan


Acap kali aku dengarkan daripada kau
Tentang mereka
Tentang mereka
Tentang mereka
Dan tentang mereka
Ya!
Mereka telah berjaya
Mereka telah kaya
Meraka telah ada segala
Tapi kau?

Bagai tin kosong terketuk tanpa sengaja
Bagai hampa padi yg bertaburan ditampi
Bagai hampas kelapa yg tak habis dimakan ayam

Buat apa?

Wednesday, 7 November 2012

Dansa


Lantai dansa telah lama tersedia
Untuk kita menari bersama
Menarilah tarian yang asyik
Dalam dunia kita yang tak terusik

Ayuh!

Tuesday, 6 November 2012

Larian Terakhir


Saat aku berhenti berlari dan berpaling ke belakang;
Aku semakin di tinggalkan

Jarak semakin menjauh;
Makin berusaha
Makin jauh
Tertinggal

Kudrat sepasang kaki tak lagi mampu
Makin dipaksa makin kaku
Buat aku terhenti
Berhenti
Tunggu mati

Tuhan;
Berikan aku kekuatan
Untuk aku terus berlari
Mengejar kau jauh mencari mentari
Sebelum benar benar aku mati

Friday, 2 November 2012

Batas Yang Tidak Terlintas

Dunia realiti dan fantasi berbeza. Ada batas antaranya. Jika aku buang batas itu dan cantumkan realiti dan fantasi, aku akan berada di dunia baru, mungkin juga sesetengah orang mentafsirkannya sebagai gila. Tapi dunia ini hebat. Berada dalamnya seperti dalam kayalan. Mata seperti terpejam, tak mahu lagi dibuka.

Aku kini di tepi tebing yang tinggi. Serasa ingin terbang. Jika aku terjun, sayap persis dewa akan muncul dari belakang badan aku. Itu fantasi. Realitinya, aku akan jatuh terus mati di bawah sana. Hendak saja aku melompat, tapi realitinya? Adakah aku perlu takut atau curiga tentang dunia ini. 

Hanya tinggal beberapa saat saja lagi untuk aku buat keputusan. Baik saja aku pergi dari tebing itu tanpa berfikir apa apa. Sempadan realiti fantasi bukan untuk dilintasi. Mungkin benar itu gila..

Thursday, 1 November 2012

Cop


Tiap kali berhadapan dengan cermin, aku meneliti raut wajah. Teliti dengan lebih mendalam.  “Wajah aku masih sama...”, ketika tangan bermain main pada ubun ubun, menyelak rambut yang jatuh sampai ke mata. “Mana orang lain dapat tahu aku macam mana?”. Sangka aku, pada wajah aku ini penuh dengan kesan dakwat pelbagai warna dalam bentuk bulat atau bersegi. Ada yang merah, biru, hijau, ungu, hitam mahupun warna yang tak dapat lagi dikenali kerana bercampur campur. Pada warna tersebut terbentuk perkataan. “Bodoh”, “Sombong”, “Malas”, “Tipu”, “Gila” dan banyak lagi kata yang patut dihindarkan daripada kanak kanak. Ya, itu cop. Rupanya cop ini takkan aku nampak pabila aku sendiri yang menelitinya namun ia wujud, dan takkan hilang hingga suatu saat, ia hilang bersama aku.