Wednesday 23 October 2013

Bebaskan


Kata Pak Tua,"Jangan pernah kau kurung sesuatu yang bebas. Kau pendosa".

 

Aku tahu tapi aku tetap manusia, berkehendak. Sifat manusia mahu memiliki, bukan berkongsi, paling kurang, sebahagian daripadanya.

 

Sejak kecil lagi aku terpesona dengan ikan. Bebas. Bebas berenang dalam air. Bagai tiada halangan menanti di hadapan. Cantik. Sisik lampam berkilat. Ekor sepelai berwarna warni. Kepala bunga air yang punya tompok cahaya. Kareng padang yang ganas. Aku pernah tangkap semuanya. Aku simpan di rumah, dalam bekas berisi air. Harapan aku untuk membelanya, tapi entah kenapa semuanya mati.

 

Kata Pak Tua,"Jangan pernah kau kurung sesuatu yang bebas. Kau pendosa".

 

Aku pendosa? Salahkah aku?

 

Aku kagum pada kebebasan burung. Terbang tinggi di langit. Mengepakkan sayap ke mana-mana saja dalam pacaian dunia. Aku kagum pada helaian bulu pada kepaknya. Aku ingin kurungkan ia dalam sangkar, supaya aku dapat melihat segala gerakannya. Dari gerakkan sayap, terbang dan kepada pada pijakkan. Bukan aku mahu menghala gerakkannya. Paling kurang, sangkarnya, aku mahu lebih besar daripada sebuah bilik sewaan seorang penduduk bandar. Biar ia bebas terbang, dalam ruangan terkurung.

 

Kata Pak Tua,"Jangan pernah kau kurung sesuatu yang bebas. Kau pendosa".

 

Aku ingat. Aku tak mahu tambah dosa lagi. Bebaslah kau burung. Bebaslah.

2 comments:

Wadi AR said...

terkejot aku tengok header kau

aamalinaazman said...

Adakalanya
memang benar kata yang tua
garamnya lebih asin dr kita

bila bebas
mereka bisa buat lebih yg dr kita tahu

moga kita ketemui kebebsan kita diakhirnya :)