Tuesday 7 May 2013

Hilang Dalam Ramai



Suatu pesta yang meriah, kita hadirinya bersama. Kenalan yang telah lama kita tak jumpa dan mereka-mereka yang pernah kita dengar nama mereka tapi belum sempat berjumpa. Katamu,"Ini kali cukup meriah!", lalu kamu berlari mendapatkan mereka. Hilai tawamu aku lihat dari kejauhan, membuat aku juga gembira.

Dari jauh aku menunggu saat kamu kembali padaku, menghadiahkan senyuman dan tawamu. Aku menunggumu dengan sabar. Kamu tak pernah katakan "Aku akan kembali" tapi aku tetap di sini, penjuru kosong majlis yang tak pernah mereka ambil peduli.

Akhirnya kamu kembali selepas kamu cuba bersendiri. Katamu,"Aku hilang dalam ramai". Aku tangkap maksudmu "Aku tidak mereka pedulikan". "Tidak", kataku. "Kamu tak mungkin hilang dalam ramai. Dalam keramaian, kau bagaikan pujaan.  Tak mungkin lagi kau terabai", kataku sambil tersenyum.

Hanya beberapa saat berselang, aku dengar jeritan memanggil namamu. Kita sama mendengarnya lalu disahutmu,"Sini!". Semua mata memandang dan kamu berdiri sambil bergelak ke arah mereka. Kamu tersenyum lagi.

Dalam keramaian, bagai berbisik, aku ungkapkan kembali,"Biarkanlah aku hilang dalam ramai".

1 comment:

APi said...

Penjuru itu tidak kosong kalau saja kau berdiri di situ dan kalu pula tidak hilang dalam keramaian kalau kau sendiri tidak berada dalam keramaian.